Bismillahirrahmanirrahim

Subahanallah wabihamdihi, Subahanallah wabihamdihi, Subahanallah wabihamdihi
Segala puji bagi Allah yang Maha Mencipta dan bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim.
Selawat & salam kepada Rasullullah S.A.W, & seluruh keluarga serta sahabat baginda yang dicintai.
Segala yang dicipta pasti akan musnah,
Segala yang baru akan menjadi sejarah,
Segala yang yang bermula pasti akan berakhir...

Selamat datang & Ahlan Wa Sahlan!
Semoga pengalaman diri & curahan minda di dalam blog ini memberi manfaat kepada semua. Amin.
__________________________________________

Sunday, June 27, 2010

Mencari Ikhlas





Ikhlas itu antara anugerah istimewa yang Allah kurniakan kepada hamba-hamba pilihanNya. Allah sentiasa memerhatikan hamba-hambaNya yang berusaha mengikhlaskan hati mereka dalam setiap keadaan dan suasana. Keikhlasan hamba sentiasa dicuba diwaktu senang dan sudah, tua ataupun muda, lelaki ataupun wanita. Keihklasan tidak akan datang dengan mudah..

Walaupun kita berusaha untuk ikhlas, sebenarnya Allah jualah yang memberi anugerah itu kepada sesiapa yang Dia inginkan. Sebagai hamba yang dikurniakan hati nurani, kita boleh merasakan kehadiran suasana ikhlas dalam diri. Pujuklah hati untuk sentiasa ikhlas. Hanya bila kita ikhlas pada diri sendiri, mudah untuk kita menerima rahmat Allah, kerana kehadiran ikhlas itu menandakan keadaan hati kita yang kian bersih. Berdoalah kepada Allah agar kita dikurniakan keihklasan dalam setiap amalan.
--
Alghaligh

-------------------------------------------------------------------------
  
"Dan tiadalah mereka disuruh melainkan supaya menyembah Allah serta
mengikhlaskan agama kepadanya." 
Surah Al-Bayyinah:5

"Allah Swt ada mempunyai hamba-hamba yang berakal, apabila sudah berakal merekaitu beramal. Apabila sudah beramal mereka itu berikhlas. Maka ikhlas itulah yang menarik segala pintu kebajikan semua sekali"  
Sheikh Junaid Al-Bagdadi Rahimallahi Taala

"Hendaklah engkau ikhlas pada ugama nescaya memada engkau dengan amal yang sedikit." 
Saidina Mu'adz RA.

Firman Allah didalam hadis Qudsi yg bermaksud:
"Bermula ikhlas itu satu rahsia daripada rahsia aku, aku taruhkan ia dihati hamba yang aku kasihi daripada hamba-hamba ku."



Tuesday, June 22, 2010

Di mana patut letak dunia?




"Dunia letak di tanganmu, bukan di hatimu"
Syeikh Al-Haj Yusof Tajul Khalwaty Al Makassari

Hati akan mudah bersenang dengan kenikmatan hidangan dunia..kesenangan yang datang dari kekayaan harta, keegoan yang diterima dari kedudukan dan darjat, keasyikan yang ditawar oleh wanita..semua mempersona. Sehingga hati hitam terikat, minda kaku terhalang untuk menyedari sebenarnya semuanya hanyalah hayalan, nilai umpama setitis air di lautan, debu di padang pasir, tiada nilai dan harga sekelumit pun. Ramailah yang hidup dalam belaian kesenangan, lupa akan asal tujuan mereka dihidupkan.

Dunia adalah tempat persingahan, bukannya maksud tujuan. Tidak salah untuk mendapatkan seluruh kenikmatan dunia, dapatkanlah sebanyak mana harta yang mahu dikumpul, setinggi mana darjat yang dijunjung manusia, secantik mana wanita idaman..genggamlah seluruh dunia, tapi jangan ada hati dengannya!  Jadikan Sulaiman A.S sebagai contoh jika ingin keseimbangan.Dia memiliki segalanya, tapi hatinya hanya pada yang Esa. Amat berat untuk menuruti sekiranya iman tidak sekuat mana.

Sunday, June 20, 2010

Membina iman


Sekiranya manusia mencari iman sepertimana mereka berduyun-duyun mengejar duit
pasti dunia ini akan penuh dengan bangunan ilmu dan iman mereka seteguh kota

Wednesday, June 16, 2010

Iman yang hidup


Iman yang hidup umpama pokok yang tumbuh subur
Akarnya jauh menunjang ke bumi
Batangnya kukuh menangung dahan
Dari jauh dilihat kehijauan
Dari dekat segar di bawah rimbunan dedaunan

Buahnya elok, masak dan ranum
Menjadi tumpuan pelbagai hidupan
Berjasa kepada haiwan
Berguna kepada Insan

Itulah kaisan iman yang hidup
Disinari nur ilahi
Rahmat dan Redha Allah mencurah-curah
Pegangan seteguh akar
Tawadhuk pada semua
Walau apa saja bencana tiba

Tuesday, June 15, 2010

Kitaran hidup


Langit tidak selalunya cerah
Air tidak selalunya surut
Bila hujan datang mencurah
Kekadang banjir akan menurut

Hitam dan putih lukisan alam
Susah dan senang bersilih ganti 
Langit tenang bertukar kelam
Bersedialah dan sentiasa berhati-hati

Hidup ini umpama fatamorgana
Dilihat ada, dipegang hilang
Berpadalah pada dunia yang fana
Kita bila-bila masa akan pulang

Menjaga hati

Rasulullah s.a.w bersabda; "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir)

Ramai orang selalu bercakap pasal hati. Sudah dimaklumi maksud 'hati' dalam persoalan perasaan dan iman sebenarnya lebih merujukan kepada 'hati nurani'. Ia melibatkan sesuatu yang dirasa, dan tidak dapat disentuh. Sesuatu yang tidak dilihat, tapi jelas tampak kesannya pada manusia. Persoalan hati banyak dikupas olah ulama-ulama besar seperti Imam Al-Ghazali dan Ibn Qayyim Al-Jaziyya. 

Dalam aspek ini, masyarakat Melayu tidak kurang hebatnya mengungkap persoalan hati . Orang Melayu cuba melihat gejala-gejala hati dalam menafsir corak perasaan seseorang seperti sabar, marah, dendam, cemburu dan sebagainya. Maka perumpaan bahasa seperti 'buah hati', 'sakit hati', 'makan hati', 'hati batu', 'keras hati' dan sebagainya. Ini semua selalunya merujuk kepada keperibadian seseorang yang selalunya dikaitkan dengan persoalan hati. Elok juga mempelajari keindahan bahasa orang Melayu ini agar kita dapat lebih mengerti 'dunia hati' itu sendiri. 

Sebenarnya, hati itulah harta yang paling berharga dalam diri seseorang insan. Ia merupakan amanah paling bernilai yang diberikan Allah kepada setiap hambanya. Sesiapa yang merosakkan hatinya, maka rosaklah iman dan kehidupannya. Sesiapa yang membentuk dan menjaga hatinya, maka hiduplah imannya, dan termasuk dia didalam golongan  orang-orang yang beruntung.

Cahaya yang menyelubungi hati nurani seseorang akan tersinar dan terserlah kepada keperibadian akhlaknya, perbuatan akan tertib dan beradab, percakapannya baik dan beralas.

Adab sesama manusia dijaga,
Adab kepada Allah terjaga.
Jadilah orang-orang yang sentiasa menjaga hatinya.

Thursday, June 10, 2010

Nilai hati

Allah sentiasa meletakkan diri manusia itu dalam keadaan ujian. Walaupun dia di pihak kebenaran tetapi sentiasa diterbalikkan dan dikatakan orang lain yang sebaliknya. Dan yang salah sentiasa mengatakan dirinya yang terbaik dan yang benar walaupun ianya adalah sebaliknya. 
Jelaslah Allah menilai hati tiap-tiap manusia itu dengan meletakkan ujiannya. 
Sekuat mana teguh imannya, setinggi mana nilai hatinya.
Masjid Belawa, Wajo

Wednesday, June 9, 2010

Hati tua


Belajarlah dari orang tua..

Hidup mereka banyak memberi, kurang meminta
Banyak amalnya, kurang buang masa
Tangan mereka banyak berjasa, Langkah kakinya mengerat ukhwah

Senyumnya ikhlas pada semua
Katanya berisi bak mutiara 
Amat takut memperkata atau menghina, kerana itu bahaya dosanya

Hati mereka luas, sebesar masyarakatnya
Tiada keinginan selangit mana, cuma berpada-pada
Tinggi sabarnya apa saja ujiannya
Cekal tawakkal pada yang Esa

Belajarlah dari orang tua.. 

Monday, June 7, 2010

Rasa cinta

Bagaimana mungkin kita menilai cinta kita kepada Allah, sedangkan keinginan, pemahaman dan rasa cinta itu pun Dia yg kurniakan? 
Bagaimana kita boleh menerangkan rasa 'cinta' kita sedangkan kita pun ciptaan Allah disebabkan kurdat dan iradahNya?
Dia beri sebelum kita meminta...

Siapa yg mencintai sebenarnya?

Bukan salah menggunakan kata 'cinta' itu kerana itulah kata yang paling sesuai digunakan untuk mentafsir 'rasa' itu...

Bahaya Fitnah

Fitnah merupakan dugaan hati yang amat berat untuk ditanggung. Orang yang difitnah akan merasa diri terhimpit oleh pelbagai bentuk perasaan...marah, geram, sedih, sebak, pasrah akan terkumpul semuanya di dalam dada.

Fitnah bisa menghancur peribadi seseorang kerana cerita buruk akan senang menular di kalangan masyarakat. Pandangan rakan taulan dan ahli keluarga orang yang difitnah akan berubah arah hanya kerana mendengar bunyi-bunyian yang dipetik halus oleh iblis dan syaitan yang merancak keaadaan. Lebih mudah jika aqal tidak diasah dan hati hati tidak disiram dengan ilmu. Baca sajalah apa yang telah tertulis dalam sejarah. Fitnah yang ditanggung oleh Nabi-nabi, rasul-rasul dan wali-wali Allah merupakan antara cerita fitnah yang sukar ditanggung oleh manusia biasa seperti kita.

Dalam kejelekan fitnah yang melemaskan, terdapat imbuhan oleh Allah bagi mereka dan bersabar dan redha. Sejuk pandangan Allah melihat hamba-hambanya yang senyum dalam kesedihan, cekal dalam kesabaran. Malah, Allah membentuk hati-hati mereka agar lebih kental, iman mereka lebih kuat terhadap penyerahan sepenuhnya kepada Allah. Bagi mereka, Allah sahaja yang maha mengetahui dan berkuasa terhadap tiap-tiap sesuatu, dan balasan besar atas ujian.

Islam menganggap penabur fitnah sebagai seorang pembunuh. Ia telah membunuh hati dan iman mereka sendiri. Lahir suburlah rasa kebencian, hilang sifat kemanusian, dan mereka lebih buruk dari haiwan. Hati-hati mereka didodoi oleh bisikan syaitan dan iblis yang akhirnya sanggup melahirkan fitnah sesama insan. Malah atas bisikan syaitan, mereka sanggup menghancurkan kehidupan orang. Bagi golongan ini, tunggu sajalah balasan Allah yang tidak akan tertanggung oleh badan!  Allah sendiri yang akan membalas, menghancur dan membinasa kehidupan mereka yang menabur fitnah pada ketetapan waktu yang bila-bila masa  akan datang.

Sinaran Muka di awan



'Keajaiban' adalah istilah manusia yg melihat perkara baru. 'Keajaiban' yg sebenar adalah keupayaan melihat perkara biasa - alghaligh


Gambar muka-muka misteri di awan, 
Petagas, Kota Kinabalu, 5.55 Petang, 30 May 2010

Rupawan di awan




IIndahnya seni bila ia tampak tapi tersembunyi, 
Umpama lukisan alam yang indah,
Hanya yang bermata-hati melihat.
Tapi bila yang tersirat telah nyata,
Apalagi yang kamu dustakan?
Selami hati sendiri,
Telah kukuhkah iman di dada pada yang tersemnunyi?



Gambaran wajah-wajah misteri di awan 
Likas, Kota Kinabalu, 6.17 Petang, 29th Mei 2010

Wednesday, June 2, 2010

Kembali Mengerti

Aku perantau di lautan hati
Pasang surut aku sebati
Dalam dasar aku selami
Tinggi ombak aku harungi

Aku pelayar di langit harapan
Teguh meredah ikatan awan
Ingin membelek wajah alam
lepaskan dari kepompong keadaan

Aku pengembara di hutan keji
Jurang & gunung aku gagahi
Perangkap samar aku perhati
Binatang buas aku temani

Aku ingin kembali ke lembah diri
Mencari erti

Rupa siapa di atas sana?

Pandangan mata zahir atau pandangan mata hati?
Siapa yang melihat, atau siapa yang dilihat?
Mesej apa yang cuba disampaikan oleh gumpalan awan ini?
Apapun jawapan, yang pasti kita ini hamba Allah
yang masih kerdil untuk memahami rahsia alam dan ciptaanNya.
Gambaran beberapa wajah misteri di awan
Petagas, Kota Kinabalu, 5.54 Petang, 30th May 2010

Penyakit Ego

Salah satu penyakit hati yang berbahaya adalah sifat ego. Mereka yang memiliki sifat ini sentiasa merasakan diri lebih baik berbanding orang lain, menganggap lebih mulia atau lebih hebat atas apa yang dimiliki atau diperolohi, jauh sekali ingin merendahkan diri. Perasaan sentiasa ingin menang selalu menyelubungi, perkataan yang mengangkat diri selalu dilafazkan untuk mendapatkan pengiktirafan.


Mereka bergaul sesama agar diri lebih terjaga maruah. Biasanya, sifat ini dikaitkan dengan golongan senang, mewah, kaya dan berada. Mereka lupa bersyukur kepada Allah atas apa yang dikurnia, dan tidak mengindahkan yang Allah itu Maha Kuasa. Leka atas kenyataan siapa yang sepatutnya diberi puji-pujian, dan pengiktirafan. Mereka dirantai kerana keegoan, dan jatuh atas dugaan kesenangan.

Namun, penyakit ego juga menjangkit pada mereka di dalam golongan susah, miskin dan papa. Walaupun tiada apa yang perlu dibanggakan, mereka seolah mempersoal terhadap dugaan yang Allah berikan. Berdoa tetapi seolah mengarah Allah agar memberi apa yang diminta, tanpa menjaga adab dan akhlaqnya.  Lalu mempertikaikan Allah seolah segala usaha dan doa seolah tidak didengar. Ego mereka kerana mempersoalkan haq Allah, lalu mereka jatuh atas dugaan kesabaran.


"Ilmu tidak akan bersatu pada hati yang terdapat padanya sifat 'riya' sebagaimana air tidak akan bersatu dengan minyak"

Masjid itu hati masyarakat


Pujuklah hati untuk berkunjung ke masjid kerana disitu rahmat Allah selalu melimpah. 
Pahala ibadah sudah tentu berganda, kenalan baik juga akan bertambah. 
Jangan biar diri terleka pula dengan dunia, kerana kita dihadapan Allah. 
Ikhlaskan diri dengan solat sunat & zikir, jangan pula mengada-ada.
Renung-renungkanlah