Bismillahirrahmanirrahim

Subahanallah wabihamdihi, Subahanallah wabihamdihi, Subahanallah wabihamdihi
Segala puji bagi Allah yang Maha Mencipta dan bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim.
Selawat & salam kepada Rasullullah S.A.W, & seluruh keluarga serta sahabat baginda yang dicintai.
Segala yang dicipta pasti akan musnah,
Segala yang baru akan menjadi sejarah,
Segala yang yang bermula pasti akan berakhir...

Selamat datang & Ahlan Wa Sahlan!
Semoga pengalaman diri & curahan minda di dalam blog ini memberi manfaat kepada semua. Amin.
__________________________________________

Diari Perjalanan 'Korban Hijrah'

Assalamualaikum para pembaca setia blog as Suffi.
InsyaAllah ruangan baru ini akan dimulakan dalam jangka waktu terdekat. Semoga nukilan yang dikongi menjadi wadah pengajaran buat semua. Amin ya Allah


Korban Hijrah

Catitan 1 (210211)
Aku hanya pemerhati pada dunia yang semakin lesu…, aku hanya menanti pada waktu yang bila Allah akan akhirkan mungkin esok mungkin juga lusa mungkin juga tulat . wallahualambisawab . Hanya Allah yang memiliki jawapannya. Pada aku semua waktu itu sudah serasi yang aku hanya mampu jalani tanpa mempersoalkan . Kerana kehidupan dunia ini umpama sebuah cermin lalu yang aku lihat hanyalah bayangan dan semakin hari bayangan itu semakin kelam. Lalu aku belajar melihat melihat diri melalui jendela hati manusia. Dalam menempuhi setiap pengorbanan, rasa sedih, marah atau kecewa dalam tiap titik pencarian, aku cuba pendamkan dan akhirnya aku pasrah. Inilah ujian atau inikah dugaan pada setiap pengakhiran kehidupan juga sebuah permulaan kehidupan.  

Disini segalanya bermula sebuah pencarian yang tidak bertitik.  Pada ruang waktu yang membataskan aku untuk menilai akan jiwa-jiwa manusia yang begitu kosong, hati mereka penuh terisi dengan sifat yang tamak pada dunia. Tanpa memperdulikan apa yang Allah inginkan. Dengan sifatnya manusia terlalu rakus pada nafsunya.  Dan semakin hari semakin aku diperteguhkan akan jawapan yang tertulis hanya ada pada sebuah hati. Yang teguh pada kehendakmu,lalu aku persembahkan padamu sebuah pengorbanan hati yang tidak akan tergoyahkan oleh waktu.


Catitan 2 (010311)
Bertahun –tahun aku belajar untuk melihat dan mendengar pada yang sudi mengongsikan dalam mendalami syariat dan untuk mengenal hakikat kehidupan bertareqat. Setiap ada kesempatan aku pergunakan untuk bertanya… dan setiap pertanyaan ku hanya berputar pada jawapan yang satu. Mungkinkah ini yang aku cari?  Pada teman yang lain aku bertanya akan hal yang sama dan kadang yang aku temui hanya noktah. Sehingga kesabaran ku mencabar situasi… aku cuba bertahan walaupun hatiku begitu kecewa dan sedih tapi aku dapat rasakan ini semua cuma dugaan yang Allah berikan. Sejauh mana aku dapat bertahan?

Dalam keadaan rumahtanggaku yang sering dilanda badai deras kadang aku rasa ingin lari dari semua hal. Tapi aku tenangkan hatiku dengan perbanyakkan beristighfar dan kepada Allah aku serahkan segala urusan kerana dia yang maha mengatur. Aku sedar apa yang aku cuba kejar maka semakin hebat juga ujian yang Allah berikan. Hanya sabar dan redha saja yang bisa menenangkan jiwaku sekalipun seluruh kehidupan ini hancur. Dan kehancuran itu juga yang banyak mengajar aku siapa aku dalam mengenal ALLAHURABULALAMIN.

Tiada penyesalan yang aku tolehkan tapi kesyukuran yang maha dalam aku panjatkan yang akhirnya aku terlepas dari segala taufan yang melanda kehidupanku. Meskipun ramai yang beranggapan apa yang aku lakukan adalah diluar akal fikiran namun itu bukan halangan tapi hikmah yang begitu tinggi yang Allah hamparkan . Setiap kali melangkah seribu tentangan dan halangan yang datang ujian yang aku terima dari setiap penjuru sehingga terkadang aku rasa sebegitu hebat ujian yang Allah S.W.T duga. Ya Allah! mampukah aku ini untuk terus menuju rahmatmu. Hanya sabar dan redha berserta keikhlasan hati yang menjadi benteng imanku. 


Catitan 3 (080311)
Pada jalan yang begitu jauh namun begitu hampir sekali aku belajar mengenal sifat manusia. Aku berteman pada hati dan aku mula bertanya pada minda, cinta yang bagaimanakah yang harus aku gapai… satu persatu teman berbicara mula menghampiri tanpa mengenal hati siapa aku siapa mereka duduk bersama semeja berbahas tentang diri yang mencari sifat sufi. Lontaran suara bermula apabila aku mula bertanya dimana nilai bangsa melayu dan kemana perginya lalu dimana awalnya? Sesungguhnya hati ini begitu meronta untuk mengetahui dimana Allah sembunyikan segala rahsia. Rahsia alam apa yang Allah sembunyikan tidak satu pun yang bisa mengungkaikan segala pertanyaan dalam benak fikiranku.

Aku mula mengkaji, bersama yang namanya teman, kawan bukan juga sahabat sejati kerana aku  belum bisa mengukur sejauh mana kepercayaanku. Hanya masa yang mampu menterbalikkan hati manusia. Satu persatu teman berdialog aku hubungi bahkan hingga ke pagi pun aku sanggup asalkan dia manusia yang memiliki ilmu ketuhanan yang tinggi. Tapi Allah lebih mengetahui apa yang tersirat dalam fikiran setiap makhluknya. Inilah yang dinamakan kawan sebagai lawan sahabat sejati mengkhianati, aku kadang bingung dengan sikap – sikap yang sukar berkompromi diantara mereka. Sering juga mereka berdebat untuk membuktikan siapa yang terhebat.

Aku cuba untuk meletakkan diri di antara mereka walaupun agak sukar kerana sikap angkuh, ego penuh menguasai benak rasa setiap kali kami bermusyawarah jalan untuk menerima konsep ketuhanan selalunya berakhir dengan perbalahan. Inilah sifat manusia yang Allah cuba ungkaikan agar aku dapat menilai seperti mana hatinya . Aku lebih rela diriku sebagai pemerhati, melihat dan mendengar setiap keluhan kadang juga pendapat bodohku sering dipinta tapi ungkapan terima kasih jauh sekali. Aku masih redha dan terus bersabar dengan sikap manusia yang seperti ini. 


Catitan 4 (260311)
Pernah aku dikatakan sesat dalam pencarian tapi Alhamdulilah Allah sentiasa melindungi aku dari perkataan jahil daripada golongan yang bijak berkata tapi isinya kosong. Walaupun aku hanya seorang insan yang naïf menerima tanpa menolak takut ada yang tersinggung dalam pencarianku menuju ke arasy Allah. Biarlah aku redha tentang apa atau yang ingin orang perkatakan tentang diriku. Pernah aku ditempelak dengan begitu hebat sekali ungkapan belum layak untuk berbicara apa itu tasawuf membuat aku  terkasima. Betapa angkuhnya manusia ini apatah lagi ayat yang terucap keluar dari bau mulut seseorang yang aku hormat. Sejahilnya manusia sifat tanda bersyukur pasti diungkapkan, namun keikhlasan hati yang aku hulur tuba yang aku terima. Aku berterimakasih dan bersyukur setidaknya Allah memperlihatkan pada aku siapa dia dan bagaimana sifat hatinya yang sebenar- benarnya. Aku berdoa semoga Allah memberikan petunjuk dan jalan yang benar pada dirinya yang sentiasa bersifat takbur. 

Hidup mengajar aku agar lebih mengenal siapa lawan diantara kawan. Siapalah aku dalam mencari erti sebenar realiti kehidupan, teman dikeliling aku hanya pandainya bermuka-muka selagi kesempatan untuk mempergunakan aku masih bisa diraih, kepercayaan dan sifat amanah tidak pernah wujud sekalipun begitu aku masih mampu menghulurkan bantuan pada teman yang hatinya begitu daif untuk mengenal siapa dia sahabat sejati. Satu persatu teman berbicara tempatku menghulur pendapat Allah uji hatinya, bagi mereka tujuan utama apa yang dituju  bukan dunia tapi hanya kekal abadi yang tiada mati. 


Catitan 5 (150411)
Tapi sombongkah aku ini seandainya aku mengatakan jika Allah menilai mahkluknya bukan dari seberapa banyak harta yang dimiliki atau setinggi mana solat setiap mahkluknya. Tapi, hanya sedikit yang Allah uji, iaitu hati yang boleh bersabar serta keikhlasan dalam redha tanpa terlalu banyak bertanya atau terlalu banyak meminta. Dan aku mula mengenal erti hati yang sentiasa sujud kepada siapa? Dunia atau yang Maha Kekal. Di sini perjalanan ku bermula, teman yang hatinya berpandukan pada dunia aku tinggalkan. Aku mahukan yang lebih pasti, sekalipun dunia jadi galang gantinya aku sanggup jika itulah taqdirku. seandainya itu akan menjadikan aku seorang yang lebih sempurna dimata Allah.

“Jangan sampai tersesat sudahlah”, itulah pesanan dari ibu yang tersayang . Tapi itu tidak pernah melunturkan semangat juang untuk terus mencari hati yang redha. Kepastian yang aku cari inilah arah petunjuk pada qada dan qadar yang telah Allah tentukan buat aku. Peringatan yang sama Allah berikan agar aku lebih kenal akan maksud yang tersirat. Inilah yang mendorong aku untuk terus berusaha menuju kepuncak pencarianku sehinggalah saat mempertemukan aku dengan waktu kerana Allah sentiasa memakbulkan doa setiap hamba yang beriman yang hatinya sentiasa redha pada taqdir.

Catitan 6 (160911)

Teman seperjalanan telah Allah pertemukan buat aku yang sentiasa haus bimbingan hati dan jiwa, lalu aku telan qada dan qadarku, buat teman yang aku tinggalkan. Kini masa hijrahku telah bermula ku korbankan kekusaman dunia untuk menjernihkan apa yang haq. Jangan jadikan hidup ini di penuhi dengan sifat keangkuhan dan keegoaan, biarlah ianya seperti padi semakin berisi semakin tunduk. Begitulah yang diajarkan buat diriku yang terlalu banyak bertanya tanpa meminta. Pengorbanan dalam erti sabar untuk lebih mengenal Allah, dan jika itulah yang telah Allah tentukan maka aku ikhlas. Pada aku dia bukan saja seorang guru tapi juga teman sependapat untuk aku lebih mendekati hati yang redha. Ternyata jalan yang aku tempuh bukan sesuatu yang sukar bukan juga yang termudah kesabaran mengajar aku erti sebuah pengorbanan. Keyakinanku untuk lebih mengenal Allah dengan lebih dekat semakin hebat. Untuk sebuah pencarian yang penuh erti aku faham tidak semua yang dapat aku terima ujian Allah itu maha hebat mampukah makhluk seperti aku menjalani untuk menggapai ke luh mahfuz Mu.


Catitan Akhir  (071011)

Keikhlasan seorang teman dalam membimbing aku tidak pernah aku pertikaikan kerana hidup ini katanya sebuah pengorbanan yang jika di mata manusia apa yang aku lakukan sesuatu yang tiada berguna tapi hanya Allah sahaja yang maha mengetahui apa maksud disebaliknya. Aku dapat merasa di sebalik maksud ayatnya tersembunyi rahsia dirinya yang tidak dapat aku ungkaikan. Aku merasakan pada teman yang aku anggap sebagai pembimbing ini menyimpan seribu rahsia yang pada dirinya tertulis satu pengorbanan yang begitu besar. Itu rahsia yang Allah amanahkan pada dirinya, susah untuk diceritakan terlalu banyak yang ditempuhinya. Katanya waktu mengajar manusia tapi adakah kita sebagai manusia akan belajar dari waktu. Kadang kala aku bingung kerana setiap ayat yang di lafazkan terlalu simbolik dan penuh maksud. Indah pada ayatnya lebih indah lagi pada namanya tapi dia sering mengelak katanya pujilah Allah pada setiap kali hati kita dalam keadaan bingung kerana syaitan sentiasa cuba membolak-balikkan setiap hati manusia. Insyaallah itulah yang diajarkan agar hatiku sentiasa dalam redha katanya dan ucapkanlah alhamdulilah setiap kali jalan untukku di permudahkan. Aku diajar pada kecintaan hati yang sebenarnya, siapa yang harus aku cinta dan kasih kepada siapa yang harus aku berikan. Ini lebih menyedarkankan aku yang sesungguhnya kecintaan ku itu hanya kepada mu Ya Allah dan kasih ku pada mu Ya Rasulullah.